Allah juga berfirman, “Katakanlah: ‘Sesungguhnya solatku, korbanku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Rabb sekalian alam, tidak ada sekutu bagiNya." (Al-An’am: 162).
HUKUM QORBAN
Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyah mengatakan: "Pendapat yang mewajibkan bagi orang yang mampu adalah kuat kerana banyaknya dalil yang menunjukkan perhatian dan kepedulian Allah padanya.” (Syarh Al-Mumti’). Antara dalilnya adalah sabda Nabi, “Barang siapa memiliki kelapangan (rezeki) tetapi tidak menyembelih qurban maka jangan sama sekali dia mendekati tempat solat kami.” (Hasan. Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al-Daraqutni, Al-Hakim). Dari hadis ini, Baginda SAW secara tegas melarang orang yang mampu tetapi enggan berkorban daripada menghampiri tempat solat, menunjukkan meninggalkannya bererti meninggalkan kewajipan.
Ibadah ini juga sebagai mencontohi sunnah Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT menyembelih anaknya Nabi Ismail, lalu kedua-duanya sabar dan mentaatinya, kemudian Allah menggantikan Nabi Ismail dengan kibasy. Maka hendaklah kaum muslimin mencontohi sikap Nabi Ibrahim dan Ismail yang mendahulukan perintah Allah.
SYARAT-SYARAT QORBAN
Seekor kambing atau satu bahagian lembu/ unta yang disembelih cukup untuk mewakili seorang dan seluruh ahli keluarganya. Hal ini dijelaskan dalam hadis Abu Ayyub, “Pada zaman Rasulullah, seseorang menyembelih seekor kambing sebagai korban bagi dirinya dan keluarganya.” (Al-Tirmidzi)
Syarat haiwan korban iaitu umur minimum; Kambing 1 tahun, lembu 2 tahun atau unta 5 tahun. Haiwan qorban hendaklah tidak cacat; tidak buta, tidak sakit, tidak kurus atau lemah.
Dari segi waktu penyembelihan; hendaklah dilakukan pada waktu yang ditentukan oleh syariat iaitu bermula selepas solat hari raya aidil adha dan setelah khutbah sehingga sebelum terbenam matahari pada13 Zulhijjah. Seorang yang menyembelih sebelum selesai khutbah, korbannya tidak diterima dan diperintahkan untuk mengulanginya. Ini berdasarkan dalil, "Barangsiapa menyembelih sebelum solat, hendaklah dia mengulanginya."(Bukhari & Muslim).
Sabda Nabi, “Hari tasyriq adalah waktu menyembelih korban” (Riwayat Ahmad). Walaubagaimanapun hadis ini dibicarakan dan ulama berselisih tentang waktu penyembelihan. Majoriti termasuk Imam Abu Hanifah, Malik dan pendapat Imam Ahmad yang terkenal mengatakan waktu menyembelih hanya pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah.
ADAB & LARANGAN
Disunatkan bagi orang yang berqorban memakan daging qorbannya. Dianjurkan juga untuk menyembelihnya sendiri. Namun jika tidak mampu, hendaklah dia menyaksikan haiwan korbannya disembelih.
Disunatkan membahagi daging korban kepada tiga bahagian; satu bahagian dimakan olehnya dan keluarganya, satu bahagian dihadiahkan kepada kaum kerabat, jiran dan sahabat, dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada fakir miskin. Namun jika ada lebihan atau kurang lalu diberi kepada sebahagian orang tanpa memberi kepada sebahagian yang lain (contohnya diberi kepada fakir miskin sahaja), ia dibolehkan.
Disebut dalam hadis, “Barangsiapa menjual kulit binatang qorbannya, maka tidak ada korban baginya.”(Sahih. Al-Hakim)
Juga tidak boleh memberi penyembelih bahagian korban sebagai upah sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ali bin Abi Thalib, “Kami dilarang memberi sesuatu pun dari bahagian qorban kepada tukang sembelih (sebagai upah kerana ini termasuk jual beli).” (Bukhari & Muslim)
Apabila masuk bulan Zulhijjah, seorang yang ingin berkorban diharamkan memotong rambut, kuku, kulit atau bahagian tubuhnya sehingga haiwannya disembelih. Ini berdasarkan hadis, "Apabila masuk 10 hari pertama (Zulhijjah) dan seorang kalian ingin berqorban, maka janganlah dia memotong rambut dan kulitnya sedikit pun.” (Riwayat Muslim).
Hikmahnya kerana orang yang berkorban menyerupai keadaan muhrim (orang yang ihram mengerjakan haji) maka dia diberi beberapa hukum yang diwajibkan atas orang yang ihram antaranya tidak boleh memotong rambut, kuku dank unlit ya. Firman Allah, “Janganlah kamu mencukur (rambut) kepalamu sebelum haiwan qorban sampai di tempat penyembelihan.” (Al-Baqarah : 196).
Rujukan: ustazfathulbari.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan