Khamis, 9 Oktober 2014

Nasi Beriani Mamak (Resepi Maklong)

Resepi turun-temurun Nasi Beriani masakan arwah Paklong sangat digemari keluarga besar kami. Pertama kali berpeluang mempelajari cara memasak nasi ini dari Maklong pada hari terakhir berpuasa Ramadhan yang lepas. Telah berpeluang mencubanya sendiri sebanyak 2-3 kali untuk keluarga kecil sendiri, alhamdulillah sangat sedap.

Harap dapat berkongsi di sini. Cara penyediaannya memerlukan beberapa langkah dan bahan-bahannya agak bermacam-macam namun hasilnya sangat berbaloi. Resepi ini menggunakan 2 kg beras yang cukup untuk 20 orang makan.

Langkah 1: Sediakan Kuah Ayam

Bahan-bahan:
1 sb minyak sapi + minyak masak
Rempah 4 beradik (cengkih, pelaga, bunga lawang dan kulit kayu manis)
Bawang merah, bawang putih dan halia (dikisar)
Rempah kurma
Rempah kari daging
Kunyit
Lada putih
Sos tomato
Santan cair (dari 1 biji kelapa)
Santan pekat (dari 1 biji kelapa)
Air biji gajus/janggus
Daun pudina (1 tangkai)
Gula
Garam
Ayam 2 ekor (dipotong kecil-kecil)

Cara-cara:
1. Tumis rempah 4 beradik dan bahan kisar.
2. Masukkan paste rempah kurma dan rempah kari. Maklong pesan, rempah kurma mesti lebih dari rempah kari. Tumis hingga terbit minyak.
3. Masukkan ayam dan mesrakan dengan rempah.
4. Masukkan santan cair dan diikuti bahan-bahan lain.
5. Perasakan dengan garam dan gula.
6. Masak hingga setengah empuk.
7. Ketepikan.

Note: kuantiti bagi bahan-bahan di atas tidak dapat diberi dengan tepat. Agak-agak lah yer dengan menggunakan kemahiran anda tentang setiap satu bahan-bahan ini yang biasa kita gunakan di dapur.

Langkah 2: Menyediakan Nasi

Bahan-bahan:
2 kg beras basmati/beriani (rendam 30 minit dan toskan)

(A)
1 sb minyak sapi + minyak masak
Rempah 4 beradik
Bawang merah, bawang putih dan halia (dikisar)
Cili boh
Daun pandan
Daun beriani
2 sb rempah beriani

(B)
3/4 tin susu cair
1 tin kecil tomato puree
Daun pudina
Garam dan gula

(C)
Carrot (diparut), biji gajus (dipanggang), kacang peas dan kismis

Cara-cara:
1. Tumis bahan A hingga garing dan naik bau.
2. Masukkan kuah yang telah diasingkan dari Langkah 1.
3. Masukkan Bahan B. Tambah air secukupnya.
4. Masukkan beras. Tutup tudung periuk dan biar hingga setengah masak.
5. Kemudian, taburkan bahan C. Letakkan ketulan-ketulan ayam di tengah nasi dan kambuskan (tutup ayam dengan nasi)
6. Tutup tudung periuk dan biar sehingga masak.

Note: pastikan setiap cecair yang dimasukkan tidak melebihi sukatan air bagi beras

Nasi Beriani sedap dimakan bersama acar dan dalca. Resepi dalca ini juga dipelajari langsung dari Maklong. Resepi dalca akan ditulis di entri yang lain insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan